SABAH"Negeri Di Bawah Bayu"

Sabah Negeri yang kedua terbesar di Malaysia, dengan membawa gelaran “ Negeri Di Bawah Bayu”.Sabah tidak sahaja kaya dengan keindahan semulajadi tetapi juga kaya dengan Kebudayaan, Kesenian dan Warisan budaya penduduknya.

Sabah terdapat banyak berbilang kaum dan masyarakat aslinya terdiri daripada sekurang-kurangnya 30 kumpulan dan mengunakan lebih daripada 50 bahasa dan kurang daripada 80 dialek.

Sabah adalah kaya dengan penduduk berbilang kaum dan berlatar belakangkan kebudayaan masing-masing, membolehkan kita menikmati keunikan serta keindahan terutama sekali Adat resam, Pakaian Tradisi, Tarian Tradisi, Makanan tempatan, Muzik dan Kraftangan dan setiap satunya akan mencerminkan identiti sesuatu suku kaum itu.

SUKU KAUM SULUK
Salah satu kumpulan etnik yang terdapat di Negeri Sabah, adalah suku kaum Suluk.
Seperti kaum lain juga suku kaum suluk kaya dengan kesenian dan kebudayaan yang unik tersendiri seperti adat perkawinan, pakaian, tarian, makanan,alat-alat muzik dan kraftangan.



ASAL USUL ISTILAH SULUK
Kaum Suluk atau Sulu berasal daripada Kepulauan Sulu dan Borneo (Sabah) sejak zaman Kesultanan Sulu lagi. Kaum Suluk ini menggunakan bahasa Tausug sebagai bahasa pertuturan. Agama rasmi yang dianuti adalah agama Islam. Kaum Suluk ini juga mempunyai budayanya yang unik dan tersendiri. Antara contoh yang popular adalah pakaian tradisionalnya iaitu KUPOT dan tarian, Daling-daling. Di sabah pusat petempatan bagi orang suluk adalah terletak di daerah kudat,semporna,sandakan,lahad datu,kota kinabalu,menggatal,tuaran,telipok.

Masyarakat Melayu Borneo Utara (Sabah) dan Kalimantan termasuk juga Brunei menggelar kaum Tausug sebagai orang Suluk. Penulis berkeyakinan bahawa panggilan “Orang Suluk” terhadap kaum Tausug ini oleh masyarakat Melayu itu berdasarkan dua sebab.

Pertama: Perkataan “Suluk” terhasil dari dua perkataan Sulu dan Sug. Oleh kerana masyarakat Melayu sendiri sukar menyebut “Sug” itu dengan sebutan yang betul maka lidah pelat orang Melayu tentu menyebut “Sug” itu dengan sebutan “Suk”, maka hasilnya kita akan lihat kemudian tergabungnya perkataan Sulu + Suk, yang membawa pengertian orang Sug di Sulu atau Suluk. Orang Melayu Brunei adalah yang terkenal menggelar Orang Tausug ini sebagai Suluk seperti yang terdapat dalam buku Tarsilah Brunei. Kesukaran orang Melayu menyebut perkataan ‘Tausug’ itu diganti dengan sebutan yang sesuai pada lidah mereka iaitu Suluk.

Kedua: Perkataan ‘Suluk’ berasal dari istilah ilmu Tasawwuf. Tasawwuf adalah sebahagian dari ilmu Islam yang sangat mendapat perhatian terutamanya di sekitar Nusantara. Di dalam Islam ia juga dikenali sebagai ilmu Ihsan. Bersuluk bermaksud orang yang menyibukkan dirinya dengan zikrullah (mengingat dengan menyebut nama Allah swt sebanyak-banyaknya) di satu tempat tertentu. Manakala dari kata jamaknya ‘Salik’ iaitu seseorang yang menempuh jalan bersuluk mendekatkan diri kepada Allah swt mengikut kaedah Tasawwuf, membersih atau memurnikan rohaninya dengan menjadikan Allah swt sahaja sebagai tujuan hidup dan matinya.

Maka dapatlah disimpulkan perkataan Suluk itu secara harfiahnya bermaksud orang Islam Sulu yang berpegang kuat dengan ajaran Islam dan sanggup berkorban nyawa demi agama, maruah bangsa dan tanah air tercinta.


[ ]http://ms.wikipedia.org.wiki/sulu_suluk

[ ]Asreemoro " Tausug dan Kesultanan Sulu"

No comments: